Pada 8 Ogos 2025, bertempat di Teluk Kalong Yard 2 (TKY2), Baxtech Resources Sdn. Bhd. (BRSB) telah menganjurkan Kempen SSHE Suku Ketiga 2025 bertemakan “Clear Mind, Safe Operation: Say No to Misuse of Substance & Contraband” serta ‘Koda Amalan Pencegahan dan Pengurusan HIV/AIDS’.

Kempen ini dianjurkan dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kemaman dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu. Ceramah telah disampaikan oleh Puan Anisah binti Hamzah, wakil dari Unit Pencegahan AADK Daerah Kemaman yang telah berkongsi pelbagai maklumat berkaitan jenis-jenis dadah, kesan penyalahgunaan serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi membendung perkara ini di tempat kerja.

Ceramah kedua disampaikan oleh Dr. Muhamad Luqman Bin Hussin berkaitan ‘Koda Amalan Pencegahan dan Pengurusan HIV/AIDS’ di tempat kerja. Koda Amalan ini bertujuan unluk mengurangkan rebakan penyakit ini dan membimbing majikan serta pekerja dalam menguruskan isu-isu berkaitan HIV/AIDS di tempat kerja. lni adalah perlu kerana HIV/AIDS bukan sahaja menjejaskan kumpulan tenaga kerja, tetapi juga kerana tempat kerja yang merupakan sebahagian utama daripada masyarakat tempatan, mempunyai peranan amat ketara yang harus dimainkan dalam perjuangan yang lebih luas untuk membendung rebakan dan kesan penyakit ini.

Turut hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen ini ialah barisan pengurusan BRSB, iaitu Encik Ahmad Redza Bin Rasdee, Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat, dan Encik Adib Azfar Bin Azman Shah, Pengurus Besar Bahagian Operasi.

Bagi meningkatkan kesedaran dan minat peserta, tapak pameran turut disediakan dengan bahan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah. Selain itu, pemakaian “Red Ribbon” oleh para peserta sebagai simbol solidariti bersama penghidap HIV/AIDS turut memeriahkan kempen ini.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada wakil AADK dan JKKP sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama mereka. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat yang berpanjangan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah serta pengurusan HIV/AIDS yang berkesan di tempat kerja.