Baxtech Resources Sdn. Bhd. (BRSB) yang diketuai pihak pengurusan tertinggi iaitu Encik Azizi bin Mat Ali selaku Pengarah Urusan, Encik Muhammad Zafifi bin Muhamad Zaib selaku Ketua Operasi bersama wakil-wakil syarikat telah mengadakan satu Sesi Libat Urus bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu pada hari Ahad, 22 Jun 2025, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma PERKESO, Kuala Terengganu.

Sesi ini merupakan inisiatif pihak syarikat dalam usaha memperkenalkan serta memperkukuh lagi kedudukan BRSB dalam industri, di samping memperlihatkan komitmen berterusan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di premis syarikat.

Sesi ini telah dihadiri dan diketuai oleh Timbalan Pengarah JKKP, Encik Mohammad Nizam bin Ali, bersama delegasi daripada pelbagai seksyen JKKP. Sesi ini menjadi platform penting bagi pihak syarikat untuk mengemukakan persoalan, bertukar pandangan, serta mendapatkan nasihat yang membina daripada pihak JKKP dalam usaha menambah baik amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Turut hadir, Encik Ts. Amree bin Ghazi selaku Timbalan Pengarah (Khidmat Teknik) JKKP, menyeru dan mengalu-alukan kerjasama strategik antara JKKP dan BRSB menerusi pelaksanaan program-program keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Sesi diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada pihak JKKP. Diharapkan sesi ini dapat memberi manfaat dua hala serta mengukuhkan sinergi antara kedua-dua pihak dalam mencapai matlamat utama, iaitu mengurangkan kadar kemalangan dan kecederaan di tempat kerja secara berterusan.